Pandemik Covid-19 yang melanda dunia telah mengajar kita betapa pentingnya pengurusan kewangan yang bijak dan teliti, lebih-lebih lagi bagi golongan berpendapatan rendah. Sebagai ketua keluarga, adakah anda sering berhadapan dengan situasi-situasi ini:
- Duit tinggal sedikit dalam akaun bank walaupun gaji baru masuk
- Tidak mampu menyimpan wang setiap bulan
- Terpaksa menggunakan wang simpanan untuk keperluan harian
- Meminjam wang daripada teman-teman atau saudara-mara
Jika ya, anda perlu mula menguruskan kewangan keluarga secepat mungkin bagi mengelakkan kesan buruk akibat kegagalan dalam menguruskan kewangan keluarga, contohnya hubungan kekeluargaan yang terjejas, tekanan emosi, dan kebankrapan.
Kes muflis di Malaysia dijangka naik dalam masa terdekat.
Jabatan Insolvensi mendedahkan seramai 5,066 orang rakyat Malaysia telah diisytiharkan bankrap bermula Januari 2020 hingga Ogos 2020. Pendedahan ini amat membimbangkan dan berkemungkinan jumlah ini akan meningkat pada tahun 2021 ekoran pandemik Covid-19. Laporan PERKESO melaporkan seramai 89,596 orang hilang pekerjaan setakat 22 Oktober 2020 yang lalu, ini bersamaan dengan 10,000 orang hilang pekerjaan setiap bulan.
Sekarang adalah masanya untuk anda mengambil tindakan bagi menguruskan bajet kewangan keluarga dengan lebih bijak dan teliti. Ikuti beberapa tips perancangan kewangan berikut bagi membantu anda:
1. Tentukan Matlamat Kewangan Yang Ingin Dicapai
Menetapkan matlamat kewangan merupakan asas bagi kewangan yang stabil. Antara contoh matlamat kewangan yang boleh ditetapkan ialah menyimpan wang bagi yuran pengajian anak-anak, menyimpan wang untuk kecemasan, menyelesaikan semua hutang, dan memiliki wang yang cukup bagi persaraan yang selesa.
Dengan adanya matlamat yang jelas, ia akan memudahkan anda untuk menentukan tindakan selanjutnya yang harus diambil, dan berapa anggaran wang yang diperlukan bagi mencapai matlamat yang ditentukan.
2. Buat Anggaran Jumlah Pendapatan Keluarga
Untuk membuat anggaran, anda perlu mengambil kira jumlah wang tetap yang sering diterima (tidak termasuk wang dividen, bonus dan kerja lebih masa). Pastikan bayaran wajib seperti cukai dan Perkeso ditolak terlebih dahulu. Kemudian pastikan jumlah bayaran tetap seperti cukai pendapatan dan KWSP dibuat melalui potongan gaji.
Setelah itu anggarkan jumlah yang minimum. Jumlah pendapatan yang dianggarkan akan menjadi jumlah yang boleh dibelanjakan untuk bulan akan datang. Ketika menyediakan belanjawan, jumlah ini akan diagihkan mengikut perbelanjaan tertentu.
3. Tentukan Kategori Perbelanjaan Keluarga
Dengan menentukan kategori perbelanjaan keluarga, ia boleh membantu anda dan keluarga untuk berjimat cermat bagi mengurangkan perbelanjaan untuk mencapai matlamat kewangan. Terdapat dua kategori utama perbelanjaan keluarga, iaitu:
Perbelanjaan tetap (contohnya sewa rumah, ansuran kereta, pinjaman rumah dan pinjaman peribadi); dan
Perbelanjaan berubah (contohnya makanan, pakaian, petrol, dan utiliti).
4. Ketahui Anggaran Perbelanjaan Untuk Kategori Isi Rumah Anda
Pada tahun 2019 KWSP mengeluarkan Belanjawanku: Panduan Perbelanjaan Untuk Individu & Keluarga Di Malaysia bagi memudahkan rakyat Malaysia menguruskan kewangan mereka dengan lebih berkesan mengikut kategori isi rumah.
Bagi kategori pasangan berkahwin yang mempunyai dua orang anak, panduan tersebut menganggarkan kategori ini memerlukan sebanyak RM6,620 setiap bulan bagi perbelanjaan seperti berikut:
5. Merekodkan Perbelanjaan Bulanan Keluarga
Merekodkan setiap perbelanjaan adalah penting bagi membolehkan anda dan keluarga menyemak sama ada apa yang dirancang dapat dilaksanakan atau sebaliknya. Jadilah pengguna yang bijak berbelanja dengan tips berikut:
i. Merancang pembelian supaya anda tidak perlu terlalu kerap ke kedai
ii. Sediakan senarai semak dan pastikan anda beli apa yang dicatatkan dalam senarai sahaja
iii. Buat perbandingan harga apabila membeli barang
iv. Beli barangan mengikut keperluan bukan kehendak
v. Simpan resit pembelian supaya dapat diteliti ke mana wang dibelanjakan
6. Mohon Pembiayaan Peribadi Yang Bersesuaian
Pembiayaan peribadi juga boleh membantu anda membayar kos sara hidup seperti bil letrik, air, sewa rumah, pinjaman sedia ada yang mempunyai kadar keuntungan yang tinggi, dan bil-bil lain sementara anda mendapat pekerjaan baru atau menstabilkan kewangan anda.
Kenyataan ini mungkin mengejutkan setengah pihak tetapi ya, pembiayaan peribadi masih sesuai untuk dipohon ketika norma baharu. Bergantung kepada situasi kewangan semasa anda, pembiayaan peribadi boleh digunakan menjana pendapatan serta mengukuhkan keadaan ekonomi anda.
7. Nilai Semula Perbelanjaan & Buat Penyesuaian Yang Perlu
Setiap akhir bulan, buat semakan bagi rekod perbelanjaan dan buat perbandingan dengan jumlah peruntukan bagi setiap kategori perbelanjaan yang ada. Lihat bagaimana anda dan keluarga berbelanja.
Jika perbelanjaan melebihi peruntukan, buat penyesuaian yang perlu, seperti mengurangkan perbelanjaan kehendak (contoh menonton wayang) atau menukar pelan mudah alih kepada yang lebih murah.
8. Pastikan Kehidupan Keluarga Anda Terjamin Di Masa Depan
Hidup ini penuh dengan kejutan, jadi pastikan keluarga anda terjamin dari segi kewangan di masa depan sekiranya sesuatu terjadi pada anda. Anda digalakkan untuk mengambil insurans hayat dan membuat hibah serta wasiat seawal yang mungkin.